Thursday, July 23, 2009

Doa Abu Darda' - Perlindungan Diri, Keluarga, Hartabenda

Terjemahan maksud:

“Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan bagiku kecuali hanya Engkau. Pada-Mu aku bertawakkal, dan Engkau Tuhan 'arasy yang agung. Apa yang dikehendaki Allah pasti terjadi, dan apa yang tidak dikehendaki-Nya pasti pula tidak akan terjadi. Tiadalah daya upaya dan tiada pula kekuatan kecuali hanya dengan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung. Aku yakin, bahawasanya Allah berkuasa atas segala sesuatu dan bahawasanya Allah meliputi segala sesuatu dengan ilmunya.

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari kejahatan diriku dan dari kejahatan segala makhluk yang melata, Engkaulah yang memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa berada di jalan yang lurus.”

Kisah Asal:

Menurut riwayat Ibnu Sunny, seorang lelaki datang kepada Abu Darda’ lalu berkata: ”Wahai Abu Darda’, saya lihat rumah engkau telah terbakar!”

Abu Darda' menjawab: "Bukan rumahku, kerana aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa membaca doa ini (doa di atas) pada waktu pagi, terhindar dia dari bencana yang mungkin menimpa dirinya, ahli keluarganya dan hartanya. Sekiranya doa ini dibaca pula di waktu petang hari, maka terpeliharalah dari bencana yang mungkin menimpa dirinya, ahli keluarganya dan hartanya di malam hari." Aku telah membaca doa itu pada waktu pagi hari ini."

Lalu Abu Darda’ mengajak sahabatnya ke rumahnya untuk menyaksikan peristiwa kebakaran itu. Maka ternyatalah bahawa rumah-rumah di sekitar rumah Abu Darda’ sudah habis terbakar semuanya, sedangkan rumah Abu Darda’ masih kekal terpelihara.

Kisah Terkini:

Serangan botol dari jalan belakang rumah sudah bermula. Jiran sebelah (konon yang ada 9 tu) dah kena pagi tadi, pecah cermin tingkap belakang. Terkejut aku pukul 3.30 pagi tadi. Kali ini, berbeza.. tiada bunyi motosikal.

Aku pernah baca tentang hadith Abu Darda' sebelum ini, tapi tak ingat kat buku mana. Tadi google dan dapat, Alhamdulillah. Cadang nak diamalguna selepas ayat isti'adzah dan basmalah yang biasa dibaca pagi dan petang. Semoga Allah Yang Tidak Tidur dan Maha Gagah Perkasa akan terus membantu. Setelah diselidik, doa bersumber Rasulullah s.a.w ini sungguh mengkagumkan. Ianya adalah gabungan dzikir dan doa serta penyaksian dan keyakinan iman terhadap kalimat Allah SWT sendiri dari - At-Taubah (129), Al-Kahfi (39), At-Thalaq (12), Hud (56) dan lain-lain. Insya Allah, sama-samalah kita kongsi guna.

*Nak puas - copy paste dalam Word - edit size doa/maksud - print.*

Wednesday, July 22, 2009

Budak Yang Menangis

Subuh tadi, sampai surau terlambat sikit - waktu dah masuk 10 minit. Tetap azan macam biasa, cuma kurang deras kerana tekak sakit - selsema. Alhamdulillah, suara panggilan ringkas itu dengan izin Allah - dapat sampaikan 2 orang lagi ke surau. Seorang - Kang Hj Salam (asal Jawa, penduduk tetap) dan seorang lagi pelajar sekolah Ting. 4 sekolah MakTeh. Dan macam biasa, imamkan mereka. Subuh ini.. bawa Surah An-Naba'.

Lepas solat, 6.30 pagi semasa nak ke motosikal yang diparking di luar pagar - dengar bunyi budak menangis. Tangisan yang amat kuat. Suara itu dari dalam rumah (teres) yang dah terang lampunya betul-betul berhadapan pintu pagar surau. Sebelum start motor - tetiba teringat nak bacakan Al-Fatihah pada budak itu, semoga diam tenteram dan menenangkan ibubapanya.

Takdir Tuhan, habis sahaja Al-Fatihah - suara menangis itu senyap. Yang dengar hanyalah suara ibunya pula. Tak tahulah, mungkin ketika itu budak itu dah dapat botol susu atau susu ibu pada ketika itu. Lepas itu, aku start motosikal dan balik.

Sesungguhnya, pada pandangan aku - kita boleh menghadiahkan bacaan Al-Quran dan mendoakan pada yang masih hidup atau yang telah mati. Dan iringan doa itu sebaiknya memohon kebaikan dari Allah untuk yang ditujukan, juga memohon perlindungan Allah dari segala bentuk keburukan.

Teringat pula satu topik di forum rawatansihir dulu, mencadang agar dihadiahkan ayat Qur'an pada orang yang disyaki fasiq - misalnya tok bomoh dan dukun penyihir. Hadiahkan ayat-ayat ruqyah seperti Al-Baqarah 163 (100x) atau ayat Qursi (33x). Lagi bagus, hari-hari. Doanya adalah mohon agar Allah membuka hatinya, bertaubat dan memimpinnya ke jalan benar. Tak lupa juga, mohon Allah lindungkan siapa pemberi hadiah dan doa itu - supaya proses ke arah kebaikan ini tidak menimbulkan fitnah dan serangan balas. Memang baik jika seorang Islam mendoakan kebaikan untuk seorang Islam yang lain tanpa diketahui oleh yang didoakan.

Untuk orang bukan Islam pun boleh didoakan. Nabi sendiri di awal kerasulan pernah berdoa agar Islam diperkuatkan, sama ada oleh Umar Al-Khattab atau Abu Jahal. Dan Allah memilih Umar.. dia masuk Islam setelah mendengar bacaan surah Thoha di rumah adiknya. Memang Al-Qur'an ini mukjizat yang amat menakjubkan.

Kalau aku, amatlah dialu-alukan kalau orang menghadiahkan ayat Qur'an pada aku, atau mendoakan kebaikan untuk aku. Hadiah yang amat berharga, tak ternilai.

Tapi.. kalau puak tokmoh dan tokkun ni pula.. seronok ke dapat hadiah ruqyah sebegini? Akan rasa sejuk dingin menyegarkan.. atau.. hangat pijar yang membakar? Atau tiada kesan apa-apa - sebab mungkin dia pun ada dinding yang hebat juga. Allahu A'lam.

Jadi yang paling baik mungkin - bacaan itu diniat TALA TUJU TERUS pada para jin pengacau yang menghuni diri atau yang mengganggu keluarga dan harta benda. Nah kau.

Catatan: Terjemahan Doa Nurun Nubuwah dan kaifiat dah disiapkan.

Monday, July 20, 2009

Seminggu Yang Pelik

Beberapa perkara baik yang berlaku tiba-tiba:
  1. Amat kerap sebut isti'adzah, bismillah dan istighfar.
  2. Tak selesa tidur melainkan dah solat malam. paling tidak 2 rakaat dengan bacaan surah As-Sajdah & Al-Mulk.
  3. Makin suka solat dhuha dan solat malam/witir.
  4. Kerap teringat surau aku. kadang2 azan subuh sekali.
  5. Selalu teringat waktu solat.
  6. Kurang berinternet.
  7. Lebih mesra komunikasi dengan MakTeh.

Beberapa perkara yang mengelirukan:

  • Satu waktu awal maghrib, aku tiba di surau lewat sikit. Surau masih gelap. Aku buka pintu, pasang lampu dan azan. Lepas solat yang aku juga jadi imamnya, masa nak keluar surau terbau hancing di satu ruang dekat pintu. Aku suruh orang lain cium, depa tak bau apa pun. Lepas 'Isyak aku bagitau Imam Besar merangkap Pengerusi Surau - aku komen untuk kali pertama: kena buat majlis ilmu untuk imarahkan surau. Dah tak tau siapa lepak surau.. kalau surau kurang orang. Kalau tiada imarahkan surau, aku bimbang benda lain yang imarahkan dengan cara depa.
  • Satu waktu selepas maghrib, di surau selepas solat sunat ba'diyah.. aku mohon agar Allah tunjukkan keadaan surau di balik sana. Aku rasa.. ada dua orang belakang aku.. berwirid dengan tasbih. Aku bagi salam, dijawab. Keduanya berbadan besar, amat tegap dan berjubah biru kehijauan berpesak besar, berserban besar dengan warna yang sama. Ada satu group kanak-kanak melingkungi seorang dewasa yang mengajar di satu penjuru, mungkin belajar mengaji. Semua seperti dari spesis yang sama - kulit coklat, alis tebal. ada vest versi aladin bagi kanak2. Ada yang paling besar berdiri mengadap kiblat di tempat imam. Tak pasti bersolat atau jadi jaga di situ.. macam penuh ruang mihrab itu dengan badan dia.
  • Satu malam, aku balik maghrib dari surau. Round tepi rumah dekat pokok jambu. Naik seram, kemudian rasa ada banyak maklumat nak disampai pada aku dek entah siapa, tapi tak tahu apa butiran benda. Masa nak ke pintu rumah, nampak kelibat belakang perempuan. pakaian putih dan berambut panjang tepi dinding depan kereta aku. Aku baca ayat qursi dia berpaling, menyeringai tapi kaku. Objek seperti semakin ke dinding pemisah porch jiran sebelah. Tala tapak tangan kat dia dan baca 4 ayat terakhir al-Hasyr, dia makin menunduk dan mengecil. Aku tarik dan cekup. Aku tiup jauh, suruh Abd Rahman hantar ke Serambi Madinah (Pusat Serenti berdasar maklumat buku pinjam abang aku). Lepas tu tanya MakTeh - dia ada baca tak 10 ayat Al-Baqarah sejak maghrib? Katanya, "ntah.. dak kot.. lupa.". Aku peringat balik.. bacalah Surah Al-Baqarah (minimum 10 ayat), Insya Allah syaitan akan keluar dari rumah. Memang ada hadith tentangnya.
  • Satu malam lepas balik 'Isyak - kopek sebiji durian di dapur. Bawa kedua belah hasil kopek itu ke depan tv. Habis makan sebelah dengan MakTeh.. rehat. Tinggal lagi sebelah yang belum dipisah pangsa-pangsanya. Tetiba aku fokus. Aku macam nampak satu makhluk kecil di atas sebelah pangsa buah durian yang belum dibuka. macam kartun lidi, hitam dan berekor. Yang geram tu, dia bertinggung tak bergerak.. macam termenung panjang. Aku suruh Sa'ad halau keluar.
  • Satu pagi sebelum pergi sekolah, aku lepak di ruang tamu. Aku panggil ketiga-tiga Abd Rahman, Sa'ad & Salwani berdepan. Minta kecilkan tubuh mereka. Aku nak tengok. Sebelum ini aku nampak rupa depa kecil sangat - macam 'thumbnail photo' saja. Tak puas.. Ok.. mula-mula Salwani, rupanya kebulatan, comel juga.. ok laa. tetiba aku rasa masih ada tabir. aku selak selapis lagi. nahh.. kulitnya memang bersih cerah tapi matanya thalatha!.. kontras bulatan biji mata hitam dengan putih matanya. Hrm.. sebenarnya ada tabir lagi, tapi aku tak minat buka.. sebab aku tak mau tengok aurat mereka sebagaimana aku tak mau depa tengok aurat aku. Kalau tak salah, Abd Rahman spesis yang sama. Sa'ad jenis kurus tinggi, gelap sikit. Si A'isyah (kawan MakTeh), pelik sikit.. muka panjang, rupa herot petot berceragah, gelap.. tak macam yang macam mula-mula aku tengok. Pasai tu ka dia malu-malu masa mula-mula dulu? atau aku yang terkeliru. Aku sms abang aku, hanya tentang Salwani.. dan konon jawapannya menggelikan hati aku.
  • Aku masih tak paham cara nak berkomunikasi kaedah angguk dan geleng macam abang aku. Aku cuba nak buat, tapi aku tak bagi depa masuk badan aku.. Adakah itu pasainya? Tapi pada masa yang sama, beberapa hari ni, aku sakit sengal pada lengan kiri dan kanan.. Sakit itu aku pernah rasa sebelum ke Banting dahulu.. depa nak berumah balik kah kat badan aku? Cis.
  • Aku rasa 'hilang' 2 anak jari kaki (manis & hantu) sebelah kanan bila solat malam surah panjang. Rasa 'hilang' atau 'tak berasa' itu dirasai bila bangun nak naik rakaat ke-2. Satu malam tu - sekali semasa setelah baca duapertiga surah Al-Jin, satu malam lagi tak pasti antara As-Sajadah, Al-Mulk atau Waqi'ah. Lepas solat, bila dipicit ianya bukan kebas. Dan jari itulah yang aku baca ayat seribu dinar dulu bila rasa benda bergerak-gerak berhampiran situ, selepas sakit urat di belakang pinggang kiri - pada malam Bg Mad datang rumah tempohari.. Sefaham aku, ayat seribu dinar untuk buka pintu keluar untuk geng spesis berkenaan. Ayat buka.. tahu, ayat tutup apa pula...? Aduh. Yasin 9 ?
  • Satu malam lepas solat maghrib, aku tegur AJK surau dan Imam Besar minta lantik seorang atau dua bilal. Walau aku tak dak jawatan apa (aku tak pergi mesyuarat agung awal tahun hari tu), tapi AJK lantik aku jadi salah satu imam. Tak kisahlah tu.. kalau ada kelapangan, Insya Allah. Cuma paling tak syok jika kita pergi subuh atau maghrib, surau gelap. Pasang lampu, azan sajalah. Tak kisahlah itu.. yang tak syoknya jika dah azan, kita juga jadi imam lepas tu. Maka pesan pada imam besar dan AJK, aku sukarela jadi bilal asal saja lantik orang lain jadi imam. Lagi satu, kalau majlis ilmu tak dibuat, jemaah makin kurang, surau tak imarah. Aku tegur pasal geng sembang luar surau (antara maghrib-'isyak). Tak payah sembang pasal jemaah PAS atau UMNO - sedangkan tak boleh hadir jemaah solat jemaah. Tuhan suruh jaga jemaah Islam! bukannya parti Malaysia. Kalau makmum tinggal sorang, aku kata - aku nak berhijrah dari surau ke masjid. "Jadi makmum lagi best". Maka.. sambung cerita.. selepas ba'diyah Isyak malam itu di surau, aku istighfar panjang.. bila aku makin tenang.. aku rasa aku dikelilingi beberapa orang berpakaian putih. Salah sorang itu tua, tubuhnya kecil, kulitnya gelap.. dia tertunduk , macam menangis. Aku masih teringat bagaimana dia tersengguk-sengguk dan kilauan air matanya yang menitis. Aku tetiba jadi sebak.. adakah aku tersalah cakap..?

Sunday, July 19, 2009

Solat Sunat Dhuha - Doa Selepasnya

Assalamu'alaikum wbt.

Solat dhuha adalah solat sunat ab'adh yang amat dituntut bagi Nabi Muhammad selain solat witir. Kita sebagai umatnya sebaiknya mengikuti anjuran Nabi kita. Bukankah Nabi itu contoh ikutan yang baik?

Solat didirikan pada waktu dhuha - kira-kira matahari segalah, 8.00-10.30 pagi waktu Malaysia. Ketika ini, pagi amat cerah, suam haba dengan vitamin percuma matahari. Waktu inilah yang dilarang tidur, kerana ketika ini rezeki dan rahmat sedang disebarkan.

Amnya, solat asasnya mudah saja, mungkin sekitar 3-5 minit saja. Lagi bagus jika dipanjangkan sesuai dengan pergerakan, bacaan , keperluan diri dan kesungguhan hati.

Cara:
  1. Niat "Sahaja aku solat dhuha, 2 rakaat, sunat, kerana Allah Ta'ala".
  2. Terpulang untuk surah bacaan selepas Al-Fatihah bagi rakaat 1 dan 2. Aku suka baca Surah As-Syams (rakaat 1) dan Surah Adh-Dhuha (rakaat 2); atau Surah Adh-Dhuha (rakaat 1) diikuti Surah Al-Insyirah (rakaat 2).
  3. Boleh tambah lagi beberapa solat lagi, jika rajin dengan 2 rakaat 1 salam. Bacalah surah-surah lain pula.
Doa selepas solat sunat dhuha:

Doa Selepas Solat Sunat Dhuha
Maksudnya:
Wahai Tuhanku, sesungguhnya waktu dhuha adalah waktu dhuha-Mu, keagungan adalah keagungan-Mu, keindahan adalah keindahan-Mu, kekuatan adalah kekuatan-Mu, penjagaan adalah penjagaan-Mu.

Wahai Tuhanku, apabila rezekiku berada di atas langit maka turunkanlah, apabila berada di dalam bumi maka keluarkanlah, apabila sukar.. mudahkanlah, apabila haram sucikanlah, apabila jauh dekatkanlah dengan kebenaran dhuha-Mu, kekuasaan-Mu (Wahai Tuhanku), datangkanlah padaku apa yang Engkau datangkan kepada hamba-hambaMu yang soleh

Bagus kan doa ini..

Saturday, July 18, 2009

Doa Nurun Nubuwah



Maksud & Cara:

“Ya Allah, Zat Yang memiliki kekuasaan yang agung, yang memiliki anugerah yang terdahulu, memiliki wajah yang mulia, menguasai kalimat-kalimat yang sempurna, dan doa-doa yang mustajab, penanggung Hasan dan Husain dari jiwa-jiwa yang haq, dari pandangan mata yang memandang, dari pandangan mata jin, manusia dan syaitan. Dan sesungguhnya orang-orang kafir benar-benar akan menggelincirkan kamu dengan pandangan mereka, ketika mereka mendengar Al-Quran dan mereka berkata: “Sesungguhnya (Muhammad) benar-benar orang yang gila, dan al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh alam". Dan yang mengijabahi Al-Quran yang mulia, dan Sulaiman telah mewarisi Daud a.s.

Al-Wadud (Yang Maha Pengasih)
(baca tujuh kali Alwadud)………………(sebutkan hajat di hati kepada Allah)

Yang Memiliki Singgahsana yang Mulia, panjangkanlah umurku, sihatlah jasad tubuhku, kabulkan hajatku, perbanyakkanlah harta bendaku dan anakku (pengikutku), cintakanlah semua manusia dan jauhkanlah permusuhan dari anak cucu Nabi Adam a.s., orang-orang yang masih hidup (dihatinya) dan semoga tetap ancaman siksa bagi orang-orang kafir. Dan katakanlah : “Yang haq telah datang dan yang batil telah musnah, sesungguhnya perkara yang batil itu pasti musnah”. Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan Al-Quran tidak akan menambah kepada orang-orang yang berbuat aniaya melainkan hanya kerugian. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Maha Suci Allah Tuhanmu Tuhan Yang Maha Mulia dari sifat-sifat yang di berikan oleh orang-orang kafir. Dan semoga keselamatan bagi para Rasul. Dan segala puji-pujian hanya bagi Allah Tuhan Semesta Alam.”

Tuesday, July 14, 2009

Kunci Langit Dan Bumi

Assalamu'alaikum. Mari baca Az-Zumar (63) dulu.. kemudian jika rajin, carilah tafsirnya.

"Kepunyaan-Nyalah kunci-kunci (perbendaharaan) langit dan bumi. Dan orang-orang yang kafir terhadap ayat-ayat Allah, mereka itulah orang-orang yang merugi."

Dikhabarkan bahawa Sayidina Uthman ibnu Affan r.a. pernah meminta penjelasan lanjut firman Allah s.w.t. tentang "Maqalad As-Samawi Wal-Ardh" - (Kunci Langit Dan Bumi) - ini dari Rasulullah s.a.w. Baginda Rasulullah s.a.w. telah bersabda katanya; "Kamu bertanya kepadaku apa yang orang lain belum pernah bertanya. Kunci Pembuka Khazanah Langit & Bumi itu adalah yang berikut;

"Tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar, Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, aku memohon ampun kepada Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Awal, Yang Akhir, Yang Zahir, Yang Batin, Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan, dan Dia Maha Hidup Tanpa Mati, bagiNya segala kebaikan dan Dia berkuasa atas segala sesuatu.

"Wahai Uthman! Kalau kamu mampu, janganlah lupa membacanya setiap hari. Kamu akan termasuk dalam golongan orang-orang yang berjaya & melampaui orang-orang yang sebelum kamu & selepas kamu."

Aku tak mau tulis ganjaran bacaan, walau aku tahu. Sebabnya aku belum dapat matan hadith berkenaan yang sebenar. Namun begitu, kalimat di atas amat baik maksudnya. Bacalah sebanyak yang termampu.

WaLLahu A'lam.

Monday, July 13, 2009

Projek BH - Keperluan

Orang diperlukan berkaitan:
  1. Abg Mad + 4J (yang awal)
  2. Abg Chik
  3. Kak Yah + semuaJ
  4. Man + 2J (lelaki)
  5. Yan + 2J (perempuan)
  6. Imah
  7. Lan
  8. Cucu perempuan bongsu Cik Mbun - Yan Kecil. Anak kelima, umur 20-30an, kakitangan kerajaan. (tel Cik Mbun: 04-4655761)
Barang diperlukan berkaitan:
  1. Besi kuning
  2. Seterika lama cap ayam
  3. ?
Lokasi: 10 kaki sehala dari belakang rumah BH.

Tolong edit jika perlu ditambah atau untuk diubahsuai..

**(BH = Bumi Hijau)

Asal Kisah 1

Salam sejahtera.. Dengan Nama Allah dari aku dan Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani terhadap seluruh makhluk-Nya.

Ini tulisan pertama pembuka cerita.

Semua kita rata-rata mengerti Rukun Iman. Kita wajib beriman kepada Yang Ghaib dan perkara-perkara ghaib selainnya. Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun yang tidak pernah dilihat, para malaikat arasy - pentasbih dan pencatat setia, syaitan yang sentiasa mengintai, jin yang berbeda-beda jalan, syurga dan neraka, Al-Mizan, Hari Qiamat, alam barzakh, adanya kebun-kebun syurga, adanya liang-liang neraka.. dan bermacam-macam lagi.

Aku suka baca Al-Qur'an atau terjemahannya berkaitan perkara ghaib - Ar-Rahman, Al-Waqi'ah, Al-Kahfi, Jin, An-Naba' dan segala. Aku meminati kisah-kisah dari hadith Nabi Muhammad s.a.w berkaitan perkara ghaib. Aku suka mendengar cerita orang dan pengalaman berkaitan benda ghaib. Aku dulu banyak beli buku Tamar Jalis (Siri Bercakap Dengan Jin), Tok Awang Ngah (Siri Berkelahi Dengan Syaitan), Abu Musa Dawud (Dialog Dengan Jin) tentang kisah berkaitan dan pengalaman alam ghaib. Aku menerawang internet mengenal reiki, yoga, aura - dan forum berkaitan perubatan alternatif. Aku juga ada beberapa buku tentang rawatan sihir, doa perlindungan dan permohonan. Ada: satu perkara.. baca: perkara lain.. amal: pula cerita lain. Kah kah kah.

Pasal apa aku cerita benda-benda ini? Sebab aku minat walau juga ada takut... Sejak kecil dimomok cerita hantu. Paling aku dan adik aku takut bila nak ke kedai Abg Man Kak Rahmah kat simpang belakang rumah adalah kena lintas pokok tembusu tepi parit Pak Ndak Mat Non. Berlari kami kat situ bila nak pi tengok tv malam-malam.

Di waktu sekolah menengah, duduk asrama. Tingkatan Satu, aku duduk katil paling dekat dengan pintu. Ditakuti senior macam-macam cerita tentang asrama dan sekolah - hantu Jepun, hantu tandas. Aduh.. bila loceng 'light off' 11.00 malam berbunyi, bila lampu ditutup.. kisah-kisah seram menjelma semua. Aku cuma berbekal pesan mak.. "baca bismillah 21 kali sebelum tidoq'. Pesan ayah pulak.. 'basuh kaki sebelum tidoq'. Maka dipejamlah mata, dalam otak dok melingas cemas.

Masih teringat deruan angin kencang dan lolongan anjing memanjang pada malam dukun perempuan di setinggan belakang asrama meninggal dunia.. gema ribut angin bila kawan-kawan main 'spirit of the coin' dinihari dan si-spirit tak mau balik!.. senja sedih ketika kawan sekatil aku (dia atas aku - katil double decker) meninggal dunia di hospital.. Semua itu masa Tingkatan Satu.

Dan selepas diberitakan arwah Hasnim meninggal itulah.. aku belajar sesuatu yang baru. Ayat Kursi. Hafal dalam satu malam. Dan kena hafal.. sebagai pembekal semangat. Bukan aku sorang.. malah semua kawan-kawan aku satu dorm. Dipertakuti senior.. bahawa konon arwah akan melawat kawan-kawan rapatnya. Aku lah! Yang duduk sekatil dia, berkongsi ampaian dan katil. Dan katil aku paling dekat dengan pintu itulah yang paling menensyenkan aku. Memang aku mimpi selepas itu - dia melawat aku.. selak kelambu .. wajahnya berkafan, nampak muka pucatnya sahaja.. tanpa bercakap apa-apa. Bila terjaga, pecah peluh aku.. terus tak boleh tidur.

Ketika Tingkatan 1-3, aku biasa pakai serban. Berkawan dengan rakan rajin surau. Masuk Tingkatan 4, serban hilang. Berkawan dengan rakan rajin billiard. Yang tinggal di asrama hanya saki-baki yang tak dapat ke SBP, SMT dan lainnya. Makin nakal, mula merokok dan ponteng hingga result teruk SPM. Bila Tingkatan 6, kembali rajin belajar - sedar kesilapan lalu. Tapi kenakalan tertentu ada yang kekal. Sampai tak takut apa - baik untuk dunia nyata, atau dunia lain. Aku mengulangkaji sorang diri tengah malam waktu orang tidur. Aku juga meredah malam seorang diri malam minggu.. ke pekan atau ke bandar.. Kahaq.

Itulah.. dan kita patah balik cerita.. kisah di balik sana.

Bidang ilmu 'di balik sana' adalah satu bidang ilmu unik yang tertutup dan rahsia. Orang ada bincang di surau, masjid atau di sekolah, tapi hanya cerita-ceriti atau bab Tauhid. Tiada orang bincang tentang ilmu, kaedah dan teknik. Kata orang, pintu rahsia itu boleh terbuka atau dibuka. Hanya berbekal semangat dan minat belum cukup. Ia perlu ilmu dan pengalaman. Dari situ baru timbul kemahiran.

Terbaru - aku pinjam buku Diari Seorang Perawat dari Bg. Mad. Ada kisahnya sebelum itu. Dan katanya.. sepatutnya darihal 'alam di balik sana' dibuat sebuah blog.

Maka, hari ini.. dengan izin Allah - aku buka blog ini.

Aku juga buka blog ini untuk ditulis bersama dengan adik beradik lain - termasuk Bg. Mad. Boleh hantar entri sendiri dalam blog yang dikongsi sama. Lebih mudah untuk fokus baca, untuk diberi komen dan dikongsi pengalaman masing-masing. Memang ada orang yang hebat, tapi lebih ramai yang lemah. Aku lah yang paling koman dan paling teruk sekali. Lagi dicecah masuk ke balik sana, semakin bodo banganglah diri. Adakah ianya benar, atau hanya ilusi..? Semakin dicuba, makin dieksperimen.. makin keliru dengan makin banyak cabang untuk diharung dan diterokai.

Ya.. Kita hanya bergantung pada-Nya, tidak yang lain. Yang Gagah Perkasa, Yang Maha Mengetahui Seluruh Alam.. Dialah Allah. Yang Maha Ghaib, Maha Nyata, Maha Halus lagi Maha Bijaksana.