Monday, July 13, 2009

Asal Kisah 1

Salam sejahtera.. Dengan Nama Allah dari aku dan Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani terhadap seluruh makhluk-Nya.

Ini tulisan pertama pembuka cerita.

Semua kita rata-rata mengerti Rukun Iman. Kita wajib beriman kepada Yang Ghaib dan perkara-perkara ghaib selainnya. Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun yang tidak pernah dilihat, para malaikat arasy - pentasbih dan pencatat setia, syaitan yang sentiasa mengintai, jin yang berbeda-beda jalan, syurga dan neraka, Al-Mizan, Hari Qiamat, alam barzakh, adanya kebun-kebun syurga, adanya liang-liang neraka.. dan bermacam-macam lagi.

Aku suka baca Al-Qur'an atau terjemahannya berkaitan perkara ghaib - Ar-Rahman, Al-Waqi'ah, Al-Kahfi, Jin, An-Naba' dan segala. Aku meminati kisah-kisah dari hadith Nabi Muhammad s.a.w berkaitan perkara ghaib. Aku suka mendengar cerita orang dan pengalaman berkaitan benda ghaib. Aku dulu banyak beli buku Tamar Jalis (Siri Bercakap Dengan Jin), Tok Awang Ngah (Siri Berkelahi Dengan Syaitan), Abu Musa Dawud (Dialog Dengan Jin) tentang kisah berkaitan dan pengalaman alam ghaib. Aku menerawang internet mengenal reiki, yoga, aura - dan forum berkaitan perubatan alternatif. Aku juga ada beberapa buku tentang rawatan sihir, doa perlindungan dan permohonan. Ada: satu perkara.. baca: perkara lain.. amal: pula cerita lain. Kah kah kah.

Pasal apa aku cerita benda-benda ini? Sebab aku minat walau juga ada takut... Sejak kecil dimomok cerita hantu. Paling aku dan adik aku takut bila nak ke kedai Abg Man Kak Rahmah kat simpang belakang rumah adalah kena lintas pokok tembusu tepi parit Pak Ndak Mat Non. Berlari kami kat situ bila nak pi tengok tv malam-malam.

Di waktu sekolah menengah, duduk asrama. Tingkatan Satu, aku duduk katil paling dekat dengan pintu. Ditakuti senior macam-macam cerita tentang asrama dan sekolah - hantu Jepun, hantu tandas. Aduh.. bila loceng 'light off' 11.00 malam berbunyi, bila lampu ditutup.. kisah-kisah seram menjelma semua. Aku cuma berbekal pesan mak.. "baca bismillah 21 kali sebelum tidoq'. Pesan ayah pulak.. 'basuh kaki sebelum tidoq'. Maka dipejamlah mata, dalam otak dok melingas cemas.

Masih teringat deruan angin kencang dan lolongan anjing memanjang pada malam dukun perempuan di setinggan belakang asrama meninggal dunia.. gema ribut angin bila kawan-kawan main 'spirit of the coin' dinihari dan si-spirit tak mau balik!.. senja sedih ketika kawan sekatil aku (dia atas aku - katil double decker) meninggal dunia di hospital.. Semua itu masa Tingkatan Satu.

Dan selepas diberitakan arwah Hasnim meninggal itulah.. aku belajar sesuatu yang baru. Ayat Kursi. Hafal dalam satu malam. Dan kena hafal.. sebagai pembekal semangat. Bukan aku sorang.. malah semua kawan-kawan aku satu dorm. Dipertakuti senior.. bahawa konon arwah akan melawat kawan-kawan rapatnya. Aku lah! Yang duduk sekatil dia, berkongsi ampaian dan katil. Dan katil aku paling dekat dengan pintu itulah yang paling menensyenkan aku. Memang aku mimpi selepas itu - dia melawat aku.. selak kelambu .. wajahnya berkafan, nampak muka pucatnya sahaja.. tanpa bercakap apa-apa. Bila terjaga, pecah peluh aku.. terus tak boleh tidur.

Ketika Tingkatan 1-3, aku biasa pakai serban. Berkawan dengan rakan rajin surau. Masuk Tingkatan 4, serban hilang. Berkawan dengan rakan rajin billiard. Yang tinggal di asrama hanya saki-baki yang tak dapat ke SBP, SMT dan lainnya. Makin nakal, mula merokok dan ponteng hingga result teruk SPM. Bila Tingkatan 6, kembali rajin belajar - sedar kesilapan lalu. Tapi kenakalan tertentu ada yang kekal. Sampai tak takut apa - baik untuk dunia nyata, atau dunia lain. Aku mengulangkaji sorang diri tengah malam waktu orang tidur. Aku juga meredah malam seorang diri malam minggu.. ke pekan atau ke bandar.. Kahaq.

Itulah.. dan kita patah balik cerita.. kisah di balik sana.

Bidang ilmu 'di balik sana' adalah satu bidang ilmu unik yang tertutup dan rahsia. Orang ada bincang di surau, masjid atau di sekolah, tapi hanya cerita-ceriti atau bab Tauhid. Tiada orang bincang tentang ilmu, kaedah dan teknik. Kata orang, pintu rahsia itu boleh terbuka atau dibuka. Hanya berbekal semangat dan minat belum cukup. Ia perlu ilmu dan pengalaman. Dari situ baru timbul kemahiran.

Terbaru - aku pinjam buku Diari Seorang Perawat dari Bg. Mad. Ada kisahnya sebelum itu. Dan katanya.. sepatutnya darihal 'alam di balik sana' dibuat sebuah blog.

Maka, hari ini.. dengan izin Allah - aku buka blog ini.

Aku juga buka blog ini untuk ditulis bersama dengan adik beradik lain - termasuk Bg. Mad. Boleh hantar entri sendiri dalam blog yang dikongsi sama. Lebih mudah untuk fokus baca, untuk diberi komen dan dikongsi pengalaman masing-masing. Memang ada orang yang hebat, tapi lebih ramai yang lemah. Aku lah yang paling koman dan paling teruk sekali. Lagi dicecah masuk ke balik sana, semakin bodo banganglah diri. Adakah ianya benar, atau hanya ilusi..? Semakin dicuba, makin dieksperimen.. makin keliru dengan makin banyak cabang untuk diharung dan diterokai.

Ya.. Kita hanya bergantung pada-Nya, tidak yang lain. Yang Gagah Perkasa, Yang Maha Mengetahui Seluruh Alam.. Dialah Allah. Yang Maha Ghaib, Maha Nyata, Maha Halus lagi Maha Bijaksana.

1 comment:

  1. salam sejahtera...nk tanye buku2 tok awang ngah sedara ada lagi x? berminat le nk tau sbb saya pon peminat buku2 beliau.

    hubungi saya di: cyagami@hotmail.com

    ReplyDelete